Wednesday, January 5, 2011

FORMULA LOMPAT PARTI, HANCURKAN BN?




Share
Oleh: GONOD SUNDA

SEJENAK selepas pergolakan parti parti komponen BN di Semenanjung Malaysia seperti Gerakan, MIC, UMNO, PPP dan MCA reda seketika kini timbul lagi pergolakan sebuah parti tempatan LDP yang dianggap sebuah parti ‘senior’ dalam komponen BN di Sabah bersama dengan parti AKAR (sudah dibubar) sebuah parti ‘multi racial’ tempatan pada ketika itu.
Kemelut pergolakan LDP-Umno di Sabah itu, semakin diburukkan lagi situasi politiknya apabila pemimpin kanan LDP itu yang juga seorang Timbalan Ketua Menteri, Datuk Pang secara tiba-tiba mengumumkan keluar daripada LDP sekaligus meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Belia dan Sukan Negeri Sabah tetapi masih mengekalkan statusnya sebagai Adun Karamunting meletakkan suasana kepimpinan LDP dalam keadaan terus tertekan.
Senario ini mengingatkan semua rakyat Sabah bahawa apa yang berlaku dengan SAPP suatu ketika dahulu rintangan politiknya seakan-akan sama dengan apa yang sedang mendepani kemelut kepimpinan LDP ketika ini.
Malahan penderhakaan segelintir pemimpin SAPP yang meninggalkan bahtera SAPP dan masih bersama BN di saat-saat mereka diperlukan bagaikan dimakan arus sumpah SAPP malahan sumpahan itu terus ‘mengena’ sehinggakan pemimpin kanannya ketika itu yang juga seorang Timbalan Ketua Menteri terpaksa hinggap ‘mengemis meminta suaka politik’ kepada sebuah parti yang kurang ternama di bumi Sabah suatu ketika dulu semata-mata untuk meneruskan cita-cita dan 'survival' politik mereka di bawah telunjuk ‘Mahaguru’ barunya.
Ramalan demi ramalan terus bermain di kepala 'peramal bintang kedai kopi' bahawa senario yang dialami kawan Raymond Se Sandakan dengan Pang mungkin akan mewah seketika sehingga PRU13, namun rakyat di kawasan mereka sudah pun berkira-kira dan mencongak-congak masa depan karier politik kedua-dua pemimpin serpihan ini sama ada masih diterima oleh pengundi kawasan masing-masing atau sebaliknya. Jika tidak! Jawapannya amat mudah mereka akan berada di senarai antara pemimpin ‘makan pencen’ untuk selama-lamanya.
Ramai yang berpendapat bahawa kemelut kepimpinan LDP ketika ini bukanlah suatu tekanan tetapi sebaliknya kini LDP melalui suatu proses 'Re-Branding' terhadap tahap kesabaran, kesetiaan dan keberanian pemimpin-pemimpinnya yang seolah-olah dalam proses menapis kredibiliti dan pendirian perjuangan pemimpinnya.
Kini, ternyata sudah terdapat seorang daripada pemimpin kanannya terkeluar daripada jenis baka pemimpin yang tulen yang disangkakan mampu melawan arus dan kini beliau bersiap sedia mengharungi dunia politik lain dan dijangka akan menjadi ‘pengemis politik untuk mencari suaka politik dari rakan-rakan komponen yang lain atas perintah Tok Guru Cucu Datuk Merah’.
Kemungkinan talian hayat politik Pang akan terselamat dan nilai saham politiknya masih di paras ‘Dinar’ jika Pang tidak teragak-agak untuk mengosongkan kerusi DUN Karamunting dari sekarang untuk membuktikan pegangan kenyataannya yang memilih Musa Aman sebagai idola politiknya berbanding V.K.Liew bekas bossnya, yang pernah berhempas pulas mengangkatnya ke takhta politik yang lebih tinggi dan selesa berbanding Teo dan Chin yang kini lantang bersuara menuntut keadilan dari Musa dan BN.
Kenyataan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Dato’Seri Najib Razak ketika mengulas perletakan jawatan Pang dan tindakannya keluar dari LDP tanpa segan silu terus menyatakan Pang keluar LDP akan berhijrah ke Gerakan.
Apakah Najib sudah merancang perkara ini lebih awal, kalau tidak, mengapa Najib terus sahaja menyatakan bahawa Pang akan berhijrah ke Gerakan? Wajarkah seorang Pengerusi BN bertindak sedemikian rupa tanpa berunding terlebih dahulu apabila seorang pemimpin BN melompat dari parti ke parti dalam parti komponen BN!
Apakah perasaan parti komponen BN yang terlibat yang seolah-olah dimalukan dengan tindakan sebegini rupa bertujuan menggertak LDP dan V.K.Liew atau antara lain perkataan mereka berusaha bersungguh sungguh men’demoralise’kan LDP?
Segenap lapisan rakyat yang menyokong dan mengundi LDP pada PRU12 kini terus tergamam dan tertanya-tanya di hati kecil mereka bahawa apakah isu yang paling besar dihambatkan oleh LDP kepada BN sehinggakan LDP disisihkan secara tidak demokratik.
Kebanyakan rakyat dan pengundi LDP tahu ialah isu MAZU di Kudat dan isu Ketua Daerah Kudat, Haji Harun Bidin yang memecat 8 pemimpin masyarakat tanpa pengetahuan wakil rakyat Tanjung Kapor, Datuk Teo Chee Kang.
Isu MAZU yang sangat popular di kalangan masyarakat Cina, khususnya di Kudat. Bagi mereka, sepatutnya Musa, selaku Ketua Menteri terus berpegang teguh kepada keputusan awalnya (yang telah pun mempersetujui lokasi cadangan itu di peringkat awal menurut mantan Ketua Menteri Tan Sri Chong Kah Kiat) dan bukan bersikap berbelit-belit dengan menukar keputusan di saat-saat akhir menjadikan gangguan besar kepada proses pembinaan patung MAZU.
Akibat daripada keputusan Musa yang sering berubah-ubah membuatkan ramai masyarakat Cina merasa marah dan kurang senang dengan kelibat Musa yang dilihat seolah-olah ibarat ada udang di sebalik batu, malah lebih sinonim dengan cerita donggeng wayang Indonesia sekitar tahun 1970-an yang bertajuk ‘Pembalasan Si Pitung’(sebuah kisah seorang pedagang yang suka memendam dendam).
Apa pun riak-riak ini, sudah menunjukkan bahawa bahtera UMNO-BN akan karam pada bila-bila masa sahaja dari sekarang yang bukan sahaja di Sabah dan Sarawak tetapi juga meliputi Semenanjung Malaysia.
Nyatalah bahawa andaian tokoh-tokoh politik veteran dalam pembangkang bahawa Sabah dan Sarawak bukan lagi ‘Fixed Deposit’ tetapi kini telah bertukar kepada ‘Lost Deposit’ adalah tepat dan benar.

7 comments:

  1. Terlalu awal utk meramal masa depan umno/bn kerana politik ni mcm2 boleh berlaku. hehe

    ReplyDelete
  2. Setiap yang berlaku pasti ada sebabnya. Jadi janganlah kita terus membuat kesimpulan sebelum kebenaran terdedah.

    ReplyDelete
  3. Namun, lain orang lain pandangannya, cuma yang pasti layan sajalah karenah pemimpin politik zaman kini. hehe

    ReplyDelete
  4. Bagi saya apa yang paling penting ialah penilaian rakyat itu sendiri kerana undi rakyatlah yang akan menentukan segalanya.

    ReplyDelete
  5. Apapun, kita tunggu dan lihat sajalah apa yang bakal berlaku nanti k:)

    ReplyDelete
  6. isu LDP dan Pang tidaklah seteruk isu PKR.. LDP masih setia bersama BN dan begitu juga dengan Pang.

    ReplyDelete
  7. hal ini bukan hal besar dan boleh diselesaikan dgn baik.

    ReplyDelete